Followers

Carian

...................... بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ ......................

Segala puji bagi Allah, Pencipta dan Penguasa alam semesta. Selawat dan salam semoga disampaikan kepada Nabi Muhammad S.A.W., keluarganya dan para sahabatnya.

Assalamualaikum w.b.t. dan salam ukhuwaah. Blog ini dibina adalah berdasarkan sebagai perkongsian pengalaman rawatan di samping catatan penulis berkaitan Perubatan Islam khususnya Rawatan Gangguan Makhluk Halus. Adalah diharapkan dengan usaha yang sedikit ini dapat memberi manafaat bagi pembacanya dan orang-orang yang mencari kebenaran. Apa jua yang tercatat di dalamnya adalah jauh sama sekali untuk menimbulkan rasa "riak dan ujub" dalam diri. Na'uzubillah. Sesungguhnya Allah S.W.T. jualah Yang Maha Hebat Lagi Maha Mengetahui. Saya melepaskan diri dari setiap hal yang bertentangan dengan Kitab Allah dan Sunnah Nabi S.A.W. Semua taufiq yang dikurniakan tidak lain adalah kerana Rahmat Allah S.W.T. KepadaNya saya berserah dan kepadaNya saya kembali ....... al-faqir ilallah min : (abuhumaira)

Tuesday, July 28, 2009

Diari Rawatan Murid S 2

Isnin 27.07.2009

Selepas perhimpunan pagi , murid S masuk ke kelas. Disebabkan guru Z memarahi murid-muridnya kerana tidak hadir kelas malam, murid S jadi berdebar-debar. Peluang inilah untuk jin masuk ke dalam badannya. Guru Z memberitahu saya, dan murid S diminta dibawa ke bilik guru (bersebelahan kelas murid S) oleh rakan-rakanya. Nak bawa naik ke surau tingkat atas, kawannya tak larat nak papah. Seperti biasa, saya akan memperdengarkan ayat-ayat rukyah melalui komputer saya sambil menggunakan Teknik Rotan Objek. Dua orang kawannya diminta menemaninya sambil buat kerja sekolah di situ. Seperti biasa juga murid S akan menangis dan menahan kesakitan tanpa bercakap sepatah kata pun.

Saya tinggalkan murid S dan kawan-kawannya sambil diperhatikan guru yang ada di dalam bilik tersebut kerana saya ada kelas. Hari ini masa mengajar saya full, jadi saya biarkan murid S mendengar ayat-ayat rukyah sambil diperhatikan oleh guru dan 2 orang kawannya takut-takut murid S menjerit atau mengamuk.

Masa sudah hampir waktu rehat, jadi saya bermohon pada Allah s.w.t.untuk tidurkan jin supaya murid S dapat pergi makan. Sebelum itu saya mencari tempat jin duduk dengan mengepitkan besi (copstik) di jari-jari kaki murid S. Allhamdulilah, saya sudah dapat tahu di mana jin duduk dalam badan murid S. Nanti senang untuk dirawat. Kemudian saya tidurkan jin. Dengan izin Allah jin tersebut tidur. Tapi murid S juga turut tertidur. Saya membaca ayat al-Quran mohon agar Allah sedarkan murid S. Allhamdulillah murid S sedar dan dapat makan roti yang dibelikan oleh kawannya.

Lepas rehat, saya ada kelas lagi. Jadi saya tinggalkan murid S bersama kawannya sambil diperdengarkan azan pula. Menurut kawannya, semasa azan diperdengarkan tanpa henti, jin di dalam badan bersuara mengatakan “sakit…panas….nak keluar…”. Bersuara juga akhirnya. Kata anak murid saya ni lagi, murid S terasa sakit bila minum air yang dirukyah. Sempat juga dia bertanya kafir atau Islam (maklumlah dah biasa tengok saya merawat murid S). Rupanya jin kafir.

Habis kelas pada hari itu saya terus merawat murid S. Pada awalnya jin di dalam badan tidak mahu bercakap, tapi akhirnya bersuara dan menjawab soalan saya. Allhamdulillah.

Hasil dialog :
1. Ada 2 jin kafir.
2. Tidak ada keluarga dan tidak bernama (diberi mana Hassan dan Hussin setelah memeluk Islam)
3. Mereka masuk melalui jari-jari tangan dan kaki apabila murid ini lupa memagar diri dengan ayat al-Quran.
4. Masuk kerana murid ini terlalu lemah dan boleh buat apa saja di dalam badan S.
5. Berasal dari perkampungan jin yang ada berdekatan dengan padang bola sekolah.
6. Lebih kurang beratus jin tinggal di sana dan ada Ketua Kampung.
7. Ramai lagi jin yang menanti untuk masuk ke dalam murid S.

Allhamdulillah setelah didakwah dan diperlihatkan Serambi Madinah dengan izin Allah, mereka keluar melalui jari kaki untuk masuk ke dalam “botol transit” sebelum di hantar ke SM untuk mendalami agama Islam. SEMUA YANG BERLAKU ADALAH KERANA PERTOLONGAN ALLAH S.W.T. Saya tidak ada kekuatan, hanya berdoa dan membacakan al-Quran.

Esok macammana pula ? Sebab murid S akan mengambil peperiksaan percubaan UPSR. Saya hanya bertawakkal kepada Allah s.w.t.

Selasa 28.07.2009

Hari ini murid S menghadapi peperiksaan percubaan UPSR. Dia diasingkan daripada rakan-rakan ketika menjawab soalan peperiksaan. Awal pagi lagi disuruh bacakan ayat-ayat pagar diri. Subuh tadi dia tidak memagar dirinya dengan bacaan tersebut dan tidak membaca zikir sebagaimana yang disuruh.

Risau takut-takut masuk je pintu sekolah, jin-jin di sekolah terus masuk ke dalam badannya. Apapun setelah dia ditempatkan di meja yang dikhaskan saya terus memagar kawasan mejanya dengan ayatul Qursi dan menabur garam.

Allhamdulillah, sepanjang peperiksaan hari ini dari pagi sampai tamat persekolahan dia tidak diganggu jin. Saya mengingatkan supaya memagarnya diri dan membaca doa sebelum keluar dari kawasan yang dipagar samada nak ke tandas atau kantin. Dan membaca bismillah…apabila nak masuk semula ke tempat itu. Allhamdulillah semua dalam pengawasan Allah s.w.t.

Tetapi apabila tamat waktu persekolahan, belum sempat sampai pintu keluar pagar sekolah dia telah dipimpin oleh 2 rakannya dan dibawa ke bilik guru. Allahu Akbar. Masuk jin lagi. Dalam hati saya bertanya, adakah dia tak pagar diri semasa keluar nak balik tadi? Adakah dia kurang pandai membaca al-Quran (dalam pemerhatian saya dia mengambil begitu lama masa untuk membaca teks al-Fatihah, ayat Qursi dan 3 Qul yang saya bagi. Dan murid S ini amat pendiam sehinggakan suara ketika membaca ayat-ayat tersebut tidak kedengaran ).

Pada pendapat saya yang daif ini, jin-jin sudah lama menunggu untuk masuk diluar kawasan yang dipagar tadi. Cuma tunggu ada peluang dan ruang terbuka sahaja untuk masuk.Saya memohon doa kepada Allah s.w.t. agar jin yang masuk tadi tertidur dan murid ini dapat balik ke rumah. Bila habis baca Selawat Tafrijiyyah sahaja jin tersebut tertidur dan murid tersebut pun turut tertidur. Saya sedarkan dia,allhamdulillah murid S sedar dalam keadaan terpinga-pinga.Saya bertanya kepadanya, adakah kamu baca ayat pemagar diri sebelum keluar? Dia hanya mengangkuk kepala. Adakah kamu pandai membaca al-Quran dengan lancar dan betul? Dia hanya diam.

Esok murid S ada peperiksaan percubaan UPSR lagi. Macammana dia nak jawab soalan kalau asyik dimasuki jin? Apakah lagi ikhtiar yang harus dilakukan? Ya Allah, Tuhan Yang Maha Mengetahui, bantulah kami. Amin.


Baca Selanjutnya

Diari Rawatan Murid S 1


(Gambar murid S yang sedang kaku tak bergerak)

Assalamualaikum w.b.t.
Saya fikir sudah tidak ada gangguan pada murid Sy*** (kita namakan murid S) selepas saya merawatnya 3 hari sebelum ini. Rupanya dia terjadi lagi sebagaimana sebelum ini. Berikut adalah catatan harian gangguan dan rawatan ke atas murid S :

Isnin 20.07.2009

Dia kaku, tak bercakap dan badan sejuk. Pihak sekolah terus menelefon ibubapanya. Allhamdulillah kejadian ini tidak lama. Setelah dirawat, dia sudah pulih kembali. Tetapi jin pengganggu masih berada di dalam badannya. Saya hanya tidurkan jin tersebut di dalam badan murid S dengan izin Allah s.w.t. agar tidak menganggu pembelajarannya.

Ayah murid S meminta saya ikhtiarkan. InsyaAllah esok akan diikhtiarkan bersama-sama. Saya meminta bapanya datang ke surau sekolah lebih kurang jam 10.00 pagi (waktu rehat). Murid N (murid yang berkongsi mata dengan jin) juga diminta turut serta.

Selasa 21.07.2009

Seperti yang dirancang, jam 10 pagi saya merawat murid S yang ditemani oleh ayahnya di surau sekolah. 2 rakan murid S dan murid N juga ada sama. Murid S pada ketika itu dalam keadaan sedar . Apabila rawatan dimulakan, murid S mula menangis tetapi jin di dalam badan membisu dan tidak menjawab semua persoalan yang diajukan. Jin diberi pengajaran dengan ayat2 azab dan berbagai teknik dilakukan tetapi dia tetap membisu, menangis menahan kesakitan. Hanya satu perkataan yang dijawab, iaitu dia jin “Kafir”.

Menurut pandangan murid N, jin penganggu adalah bapa kepada anak lelakinya yang menganggu tempohari. Dia nak membalas dendam kerana anak lelakinya itu telah mati setelah minum dan mandi air rukyah yang diberikan. Betulke ?Allahualam.

Dengan izin Allah s.w.t. bapa jin tersebut dapat ditarik dan dihantar ke tempat selayaknya oleh Allah s.w.t. Tetapi ketika proses menarik, anak perempuan kepada bapa jin tersebut pula telah mengambil peluang untuk masuk ke dalam badan S. Hanya kepalanya sahaja yang sempat masuk. Demikianlah menurut pandangan mata murid N. Saya cuba berkali-kali untuk menarik keluar kepala anak jin tersebut. Tetapi Allah s.w.t. tidak mengizinkannya. Allahu Akbar.

Saya tamatkan rawatan dengan doa perlindungan dan kesembuhan daripada Allah s.w.t. Mudah-mudahan dengan meminum dan mandi air yang dirukyah dengan ayat-ayat al-Quran, Allah s.w.t. akan membinasakan sisa jin yang tertinggal di dalam badan murid S. InsyaAllah.

Rabu 22.07.2009

Selepas cikgu H memarahi seorang murid berkaitan subjek Bahasa Inggeris, murid S mula berdebar-debar dan terus menjadi kaku. Dia terus di bawa ke bilik guru. Saya merawatnya dan menggunakan Teknik Rotan Objek. Seperti biasa jin di dalam badan murid S hanya membisu sambil menangis menahan kesakitan. Murid S terus diperdengarkan ayat rukyah dan azan agar jin di dalam badannya agar diberi pengajaran di atas perbuatannya. Hanya sekadar itu yang mampu saya lakukan kerana hari ini saya ada banyak kelas untuk mengajar.

Bila hampir tamat persekolahan, saya sedarkan murid S. Saya yakin bahawa jin penganggu masih lagi berada di dalam badan murid N.
Semasa ayah murid S datang menjemput anaknya, saya meminta izin supaya anaknya dirawat oleh murid N (saya sebenarnya ingin melihat cara murid N merawat) di surau sekolah esok hari. Katanya “ Buatlah apa saja ustaz, saya risau sebab dia nak periksa ni,”.

Bertawakkal dan pohonlah kepada Allah s.w.t., jangan kepada saya. Saya hamba yang lemah dan hanya mampu memohon doa dan membaca ayat-ayat al-Quran sahaja. Tidak ada sedikit bekas pun melalui usaha saya melainkan izin, bantuan dan kuasa Allah Yang Maha Hebat.


Baca Selanjutnya

Thursday, July 16, 2009

Ustaz Sy***** Tak Bergerak Dari Tadi Lagi!


Bismillahirahmanirahim.
Assalamualaikum dan Salam Mesra.

Lebih kurang pukul 12.00 tghari semalam, saya bercadang untuk menulis sedikit perkongsian tentang sambungan pengujian saya terhadap murid saya yang berkongsi mata dgn jin. Tetapi hasrat itu tidak tercapai kerana, tiba-tiba sahaja datang seorang pengawas Tahun Enam dalam keadaan mengelabah. Katanya "Ustaz,Sy**** tidak bergerak dari tadi lagi!"

Tanpa banyak cakap saya terus ke kelas Tahun Enam dan mendapatkan murid tersebut yang pada itu sedang dikerumuni oleh rakan2nya. Memang benar murid perempuan tersebut tidak bergerak malah matanya tidak berkedip dan mulutnya tertutup dan tidak bercakap. Bila di periksa nadi tangannya, MashaAllah tiada. Tangannya semacam tidak ada darah mengalir. Saya bertanya kepada kawan sebelahnya samaada Sy*** bernafas atau tidak. Katanya bernafas, lega hati saya. Saya juga meminta kawannya merasakan degupan jantung Sy***. Katanya, berdegup kencang. Allhamdulillah.

Dalam fikiran saya yang daif ini, jika degupan jantung yang kencang daripada biasa ia adalah di antara tanda2 adanya jin di dalam badan.Saya bertanya banyak kali padanya tapi tidak berjawab. Saya sapukan air Yasin(kebiasaannya murid Tahun 6 membawa air Yasin yang dibaca secara beramai2 setiap malam Jumaat sebagai aktiviti UPSR)ke muka murid tersebut tetapi tidak juga sedarkan diri.

Murid tersebut tidak bergerak dalam keadaan menulis ketika duduk. Matanya tak berkelip dan pandang ke hadapan. Tangan kanannya memegang pensil nak (menulis) dan tangan kiri di atas meja. Badan kaku tegap (tapi tak mengeras seperti patung). Dalam kebingungan itu saya terlupa untuk mengambil gambarnya untuk disimpan atau diletakkan di dlm catatan ini. Ada hikmahnya. Gambar di atas adalah gambar hiasan sahaja.

Pada awalnya, reaksi murid ini tidak disedari oleh rakan di sebelahnya.Kerana murid ini terkenal dengan sikap pendiamnya. Saya minta kawan2 mengangkat Sy*** untuk dibawa ke surau. Tak boleh angkat,tak bergerak dan berat (badan murid ini agak besar dan berisi badannya). Jadi saya minta dia dibiarkan di situ dan meminta semua murid Tahun 6 yang lain berpindah ke kelas yang kosong ke tingkat atas.Guru yang lain datang membantu dan menyedarkan Sy***. Tapi semuanya tak jalan. Sah ini gangguan jin.

Teringat saya tentang kisah Abumujahid yang saya baca sebelum ini. Saya nak buat kaedah sebagaimana Abumujahid dan sahabat2 perawat tersebut. Tapi kes ini tak sama, kerana murid ini duduk tidak bergerak dan mata celik tapi tak berkelip2 bukannya tidur atau tak sedarkan diri. Apapun, saya mulakan dulu dengan membaca ayat Allah untuk perlindungan diri,hadirin yang ada di situ dan tempat.

Seterusnya saya membaca ayat2 rukyah yang diselang-seli dengan azan sambil spry ke muka dan tangan murid tersebut. Tapi tiada reaksi apa2 pun, malah semasa spry ke muka, matanya tidak berkelip sedikitpun. Kaedah membaca rukyah dengan menggunakan besi rawatan (saya selalu simpan besi rawatan yang diijazahkan Tuan Guru Ustaz Majid dalam beg laptop), kaedah picit tempat kebiasannya persembunyian jin (rahang) dan kaedah tepuk dilakukan, tetapi hasilnya sama, murid tetap kaku dan tidak mahu bercakap. Cuma ketika menggunakan kaedah bercakap melalui jari, adalah pergerakan jari yang sedikit dan lemah. Begitu juga, percakapnnya agak perlahan dan lemah apabila dibacakan ayat pembuka. Nak bagi salam pun lemah dan perlahan (jin tersebut Islam). Kenapa ye jadi begitu? Ya Allah, berikan ilham kepada hambamu ini untuk merawatnya.

Kemudian saya membaca ayat2 rukyah sambil meletakkan tangan ke atas kepala murid. Ini adalah kaedah asas yang saya pelajari seawal melibatkan diri dalam dunia Perubatan Islam ini sehinggalah ia diijazahkan oleh Ustaz Hj. Abdul Malek . Semasa membaca surah ar-Rahman ayat 33-36, badan murid itu ada bergegar sedikit. Saya ulang ayat tersebut berkali2, tapi lama-kelamaan gegaran itu hilang dan murid kaku seperti sedia kala. Kemudian saya teringat pesanan Ustaz Hj. Abdul Malek, sekiranya pesakit tak sedarkan diri dan pengsan, bacakan 83 kali ayat terakhir ayat Qursi, insyaAllah sedar. Tapi ini bukan kes pengsan. Ya Allah tolongilah daku. Walaubagaimanpun, saya teruskan juga membaca ayat2 rukyah.

Tiba2, seorang murid telah membawa murid yang boleh melihat jin yang saya bicarakan sebelum ini(murid2 kat sekolah ini menggelarkan dia "Tok Bomoh"). Setelah selesai membaca ayat2 rukyah yang terpilih, saya cuba tanya murid tersebut.

Saya : Ada jin tak pada murid ini ?
Murid : Ada, ada 3 ekor.1 1slam dan 2 kafir.
Saya : Mereka sedang buat apa dlm badannya ?
Murid : Sedang berperang.
Saya : (Tergamam)Kenapa mereka berperang, cuba kamu tanya?
Murid : Tak tahu. Tak boleh tanya sebab saya tak boleh dengar,lihat saja boleh. Yang Islam cedera teruk.
Saya : Kat mana mereka berperang ?
Murid : Kat tengkok.

Pada hemat saya yang jahil ini,jin Islam ini cuba mempertahankan dan menghalau jin kafir yang masuk ke dalam badan Sy***

Saya : Ok, dgn izin Allah saya akan berdoa untuk kesembuhan cedera yang dialami jin Islam dan memberikannya satu pedang.InsyaAllah. (Saya membacakan Selawat Syifa dan Selawat Tafrijiyyah)
Murid : Cederanya makin baik dan dia (jin Islam) dapat pedang. Tapi ustaz, pedang itu pendek sikit.
Saya : (Saya berdoa dan membaca sekali lagi bacaan di atas) Macam mana?
Murid : (Sambil tersenyum) aaa..pedang tu dah jadi panjang.
Saya : Saya akan membaca ayat perlindungan kepda jin Islam ini supaya dia mendapat perlindungan Allah daripada dibunuh oleh jin2 kafir dan saya akan membacakan ayat2 azab kepada jin2 kafir tersebut. Kamu lihat apa yang terjadi.(Lalu saya membacakan ayat2 tersebut).
Murid : 1 jin kafr telah mati.

Semasa proses rawatan ini ayah Sy*** telah datang (waktu persekolahan telah tamat,jam 1.30 tghari) dan dia mengatakan bahawa anaknya selalu begini kat rumah. Pening2, tak bercakap dan duduk diam sahaja (masa itu ayahnya hanya berada di sisi anaknya sahaja. Dia tak lihat lagi mata anaknya yang tak berkedip dari tadi lagi). Saya meminta ayahnya memanggil namanya, menepuk belakang dan memicit-micit tangan anaknya. Alangkah terkejutnya kerana tangan anaknya sejuk, tidak menyahut panggilannya dan tidak bergerak bila ditepuk2. Tak pernah pula jadi begini katanya.

Saya cuba jelaskan perkara sebenar yang berlaku. Baru dia sedar yang anaknya ini ada gangguan jin dalam badannya sekarang. Pakcik ini juga mengatakan bahawa anaknya dan isterinya pernah mendapatkan rawatan dari seorang bomoh satu masa dulu dan isterinya masih lagi sakit sehingga sekarang.

Masa dah lewat, sudah 2 jam Sy*** kaku tidak bergerak,bercakap dan berkelip. Jadi saya ambil keputusan untuk tidurkan dulu 2 jin yang masih lagi berada di dalam badannya. Bila saya tidurkan jin2 tersebut, murid (yang nampak makhluk halus)mengatakan bahawa mereka telah bergerak turun ke tulang belakang Sy** dan kesemuanya dalam keadaan letih. Moga Allah menidurkan mereka buat seketika.

Masalah baru pula timbul, iaitu apabila saya cuba menyedarkan Sy***. Berbagai kaedah menyedarkan pesakit digunakan, tetapi dia tetap begitu. Allahu Akbar, tolongilah kami. Akhirnya saya diilhamkan Allah supaya mencari 2 biji limau nipis dan satu botol air. Saya meminta guru yang ada berhampiran dgn saya supaya mendapatkan bahan2 tersebut.

Allhamdulillah dapat. Limau nipis tersebut saya picitkan di hadapan hidung Sy*** supaya dia terhidu bau limau nipis. Allhamdulillah dia sudah mendengar percakapan kami, tapi tak boleh bercakap lagi.Kemudian saya bacakan ayat rukyah dengan kuat di telinga kanan sambil memegang botol air yang terbuka penutupnya.
Saya menyuruhnya mendengar bacaan tersebut sambil mengenggam 2 biji limau nipis. Selesai bacaan ayat2 rukyah, segelas air yang dibacakan ayat2 rukyah tadi diberi minum kepadanya.Allhamdulliah dia sudah sedar sepenuhnya, matanya sudah berkelip dan boleh bercakap. Katanya dia terlalu letih.

"Ustaz, jin kafir itu telah keluar bila Sy*** minum air tadi. Jin Islam masih lagi berada dalam badan dalam keadaan baring (mungkin tidur, mungkin lemah kerana berperang tadi)". Demikianlah kata2 murid saya yang berkongsi mata dgn jin. Saya peringatkan kepada jin Islam " Jika kau menolong kerana Allah, apabila engkau sedar dan sembuh nanti setelah anak Adam ini meminum air rukyah ini, keluarlah kamu kerana Allah. Mudah2an Allah memberikan ganjaran kepada mu. Dan jika kau membantu kerana sesuatu selain Allah, maka dgn izin Allah air rukyah ini akan membakarmu "..

Semasa Sy*** sedar sepenuhnya sempat saya bertanya kenapa dia jadi begitu. Katanya, "Semalam semasa menghadiri kelas tuisyen malam, semacam ada sesuatu yang melihat saya ketika berada di dalam kelas dan akhirnya dia mengikut saya balik ke rumah. Entah kenapa hari ini ketika berada di dalam kelas tiba2 sahaja saya tidak boleh bergerak. Saya dengar kawan2 memanggil nama saya, tapi saya tak boleh bergerak dan menjawabnya. Lama-kelamaan saya sudah tidak dengar dan tidak tahu apa yang terjadi".

Akhir rawatan, saya bekalkan air rukyah tadi kepada ayah Sy*** supaya diberi minum dan mandi selama 7 hari berturut-turut.

Hari ini saya memanggil Sy*** untuk mengetahui perkembangannya. Allhamdulillah, petang semalam dia sudah dapat pergi sekolah agama dan hadir ke kelas tuisyen pada malamnya. Hari ini pun ok.Tapi menurutnya ada lagi rasa takut2 bila berada di sekolah pada waktu malam. InsyaAllah dia kian sembuh.

Persoalan :
1.Apakah benar apa yang diperlihatkan kepada murid yang berkongsi mata dengan jin itu? Allah lebih mengetahui.
2. Siapakah jin Islam yang berada di dalam badan Sy*** . Mungkin jin saka,jin tempias dari maknya yang sakit atau jin yang ikhlas membantu kerana Allah? Bagi saya, semua itu tidak penting. Yang penting kita merawat dan mengharapkan kesembuhan pesakit daripada Allah.
3. Kalau benar jin2 tersebut berperang di dalam badan pesakit, kenapa mereka membuat pesakit menjadi kaku? Ini yang buat saya berfikir dan tidak tahu jawapannya.

Ya Allah, berilah kami kemenangan. Maka sesungguhnya Engkau sebaik-baik yang memberikan kemenangan. Aminn.Wallhu'alam.


Baca Selanjutnya
Related Posts with Thumbnails

Catatan Abu Humaira ©Template Blogger Green by Dicas Blogger.

TOPO