Assalamualaikum w.b.t.
Alhamdulillah, diizinkan Allah
Robbul Jalil untuk hamba ini menggerakkan jari-jari ini bagi menulis sedikit
catatan di laman ini. Sungguh begitu lama blog ini sepi daripada coretan
penulis. Kekangan masa dan tanggungjawab kepada yang lebih penting perlu
diutamakan.
Allah S.W.T. mengatur semuanya. Rawatan
selepas Ramadhan lalu tidaklah begitu banyak. Peluang ini diberikan kepada saya
untuk menguruskan isteri yang sarat
menunggu kehadiran insan baru. Dan kini Allhamdulillah anak kedua saya sudah
berusia dua bulan.
Tugasan sebagai guru tidak kurang
juga sibuknya. Biasalah akhir tahun dan di awal tahun, guru terlalu sibuk
dengan bermacam-macam program dan mesyuarat. Kala itu juga tidak ramai pesakit
ingin mendapatkan rawatan. Dapatlah saya menjalankan dan menyiapkan
tugasan-tugasan guru.
Berbalik kepada catatan kali ini.
Kisah ini bermula ketika saya sedang berdoa meyambut tahun baru Hijrah. Dalam
jam 6.00 petang saya mendapat panggilan kecemasan daripada seorang ayah
pesakit. Dia sudah menelefon Ustaz Fadhilah, rakan saya. Tapi katanya Ustaz
Fadhilah belum sampai ke rumahnya lagi. Sedangkan anaknya semakin merasuk dan
mengamuk. Allahu Akbar.
Setiba di sana, kereta Ustaz Fadhilah
sudah ada di sana. Mudah-mudah semuanya sudah selesai. Sangkaan saya tidak
betul. Pesakit masih merasuk dan mengamuk. Ustaz Fadilah nampak sudah berpeluh.
Jiran yang membantu memegang pesakit agar tidak semakin mengamuk semakin
kehilangan tenaga.
Saya hamba yang lemah ini tidak
mampu berbuat apa-apa. Hanya mampu bermohon kepada Allah S.W.T. agar memberikan
pertolonganNya kepada kami. Bapa kepada pesakit menceritakan serba sedikit
kepada saya berkaitan punca anaknya jadi
begitu. Sementara itu Ustaz Fadhilah dan jiran-jiran sedang berikhtiar
memulihkan pesakit tersebut.
Jam sudah menunjukkan 7.00 petang,
Ustaz Fadhilah meminta izin dengan tuan rumah untuk pergi ke masjid kerana dia
ada ceramah Ma’al Hijrah pada malam itu dan menyerahkan kepada saya pula untuk
ikhtiarkan pesakit yang sedang merasuk dan mengamuk.
Allah berikanlah pertolonganMu
kepada kami. Ikhtiar awal yang diberikan ialah meminta jiran-jiran yang
memegang pesakit agar melepaskan pesakit tersebut. Syukur kepada Allah S.W.T. apabila
pesakit dilepaskan dia tidak menyerang orang sekeliling. Dia hanya mengamuk
dan membebel sorang-sorang.
Saya tidak memberikan apa-apa
ikhtiar rawatan. Hanya menunggu 15 minit lagi untuk azan Maghrib berkemundang.
Mudah-mudah pesakit akan sedar dan jin akan keluar apabila mendengar azan Maghrib
tersebut. MasyaAllah, azan Maghrib sudah berlalu, tetapi pesakit masih lagi merasuk
dan mengamuk.
Saya masih lagi biarkan dia
begitu kerana ingin solat Maghrib. Tuan rumah mengizinkan saya solat di
rumahnya. Alhamdulillah Allah memelihara saya ketika saya sedang bersolat
walaupun pesakit yang meronta dan merasuk berada berhampiran dengan saya.
Selesai solat dan berdoa, saya
memulakan ikhtiar memulihkan pesakit. Nampaknya pesakit semakin agresif dan
mengamuk. Dia mula mencederakan diri sendiri dengan menghantuk-hantukkan
kepalanya ke dinding dan ke lantai sehinggakan bantal terpaksa dialih-alihkan
oleh ayahnya agar pesakit tidak mengalami kecederaan pada kepala dan mukannya.
Sesiapa sahaja yang mendekatinya akan ditendang dan dibelasah olehnya. Mujurlah
saya yang berikhtiar ini tidak diapa-apakan olehnya. Allhamdulillah. Pesakit
tersebut telah sedar daripada kerasukan.
Namun tak sampai 3 minit pesakit
mula sedar dia kerasukan kembali, apabila terdengar ayahnya menerima panggilan
telefon daripada seseorang. Ya Tuhanku, apa yang perlu hambaMu ini ikhtiarkan
lagi untuk memulihkan pesakit ini kembali? Saya cuba iktiarkan kaedah yang sama
sebagaimana kaedah awal tadi untuk meyedarkan pesakit, namun Allah S.W.T. tidak
mengizinkan.
Pada hemah saya, ikhtiar yang
akan saya berikan pada pesakit ini ialah hanyalah untuk menyedarkan dia
daripada kerasukan sahaja agar tidak terus mengamuk dan mencederakan diri
sendiri. Tentang keluar atau tidak jin di dalam dirinya bergantung kepada keizinan Allah S.W.T.
apabila dia dibekalkan dengan air yang akan dibacakan Ruqyah nanti.
Saat menjadi semakin genting
apabila pesakit semakin agerasif dan mencederakan diri tanpa henti-henti. Yang
menjadi semakin membimbangkan saya ialah apabila pesakit mula menumbuk mulutnya
sendiri sehingga berdarah bibir dan giginya. Darah tersebut dihisap dan
ditelannya. “Slurppp”. Kuat bunyinya. Apabila habis darah tersebut, ditumbuk
dan dipukul lagi mulutnya dengan tangannya sendiri agar keluar darah dan
dihisap serta ditelannya lagi. Tindakan ini diulanginya lagi apabila darah
tersebut sudah habis di samping mengamuk yang tidak henti-henti.
Sedangkan saya yang daif ini pula
sedang cuba ikhtiarkan berbagai kaedah memohon pada Allah agar pesakit tersebut
sedar kembali. Akhirnya Allah
mengizinkan dia sedar dan pulih seperti sediakala. Lega rasanya.
Namun 5 minit setelah pesakit
sedar, dia mula merasuk semula apabila emaknya menyapu mukanya dengan air yang
telah saya bacakan ayat-ayat suci al-Quran. Astaghfirullahal ‘azim, apa lagi
ikhtiarkan untuk menyedarkan dia kembali.
Ayahnya memberitahu saya,
sebenarnya dia mula kerasukan dari jam 4.30 petang lagi. Masya Allah, terkejut saya. Sekarang sudah
jam 8.15 malam. Hampir 4 jam pesakit kerasukan dan mengamuk. Saya berikhtiar
lagi dengan kaedah yang sama sebagaimana yang boleh menyedarkannya pada awal
tadi tetapi tidak dizinkan Allah. Begitu juga dengan kaedah kedua yang
diizinkan Allah menyedarkannya, namun pesakit masih lagi kerasukan, membebel,
mengamuk dan mencederakan diri sendiri.
Jam 8.30 malam, Alhamdulillah
Allah mengizinkan pesakit sedar dan pulih sepenuhnya. Dia tidak lagi kerasukan
sehinggalah ayah pesakit selesai berbual bicara mengenai sakit anaknya kepada
saya sambil meminum teh.
Ikhtiar untuk pesakit kali ini
benar-benar memberikan pengalaman baru dan pengajaran buat saya. Apakah pengajarannya
? Tuan pembaca boleh membuat kesimpulan sendiri.
Allahu A‘lam
Baca Selanjutnya